Jeram Pelagus, terdiri daripada beberapa siri jeram di antara Kapit dan Belaga, terletak kira-kira 32km di Batang Rajang dari bandar Kapit. Jeram bersiri ini mempunyai sejumlah tujuh buah jeram yang menjangkau sejauh 12.8km (8 batu). Antara jeram yang paling bahaya ialah jeram-jeram sepanjang 1.6km yang berair deras dan bergelora melalui batu-batan yang tajam yang terletak berhampiran dengan Pusat Peranginan Pelagus.
Batu tongkol besar yang tonjol sewaktu paras air rendah menjadikan jeram itu tidak dapat dilalui oleh bot-bot besar manakala pada waktu paras air tinggi, air jeram menjadi bergelora dan berpusar menjadikan laluan sungai berbahaya. Pada masa dahulu, Jeram Pelagus menjadi penghalang kepada orang Iban daripada berhijrah jauh ke hulu dan bertembung dengan suku etnik lain yang telahpun menetap awal di sana. Kini. Jeram Pelagus merupakan aset pelancongan yang penting dengan terbinanya Pusat Peranginan Pelagus yang berhadapan dengan jeram itu.
Legenda mengatakan bahawa pada zaman purba dahulukala, terdapat seekor ular besar bermitos digelar Nabau. Pada suatu hari, ular itu menjelma sebagai seorang manusia yang cuba bermesra dengan isteri kepada seorang pahlawan. Pahlawan itu berjaya menangkap ular itu, mengeratnya kepada tujuh bahagian dan membuangnya ke dalam sungai. Keratan-keratan ular itu kemudiannya membentuk tujuh ketulan batu-batan iaitu tujuh buah jeram yang ada sekarang.
Jeram Pelagus dikatakan berpuaka dan bermitos di kalangan orang-orang tempatan kerana sekali dalam beberapa tahun, seseorang nyawa akan terkorban di jeram tersebut. Sesetengah orang tempatan masih lagi membuat upacara atau persembahan adat untuk menenteramkan roh-roh jeram itu.
0 comments:
Post a Comment