Friday, April 17, 2009

IKAN EMPURAU (Tor tambroides)

Kapit sering kali disinonimkan dengan ikan-ikan eksotik kerana kedudukannya di kawasan hulu Sungai Rejang merupakan habitat semulajadi bagi banyak ikan asli di Sarawak. Salah sejenis ikan air tawar yang paling banyak dicari ialah ikan empurau. Ikan ini adalah amat masyhur di Sarawak.
Secara umumnya, ikan ini tinggal di anak sungai yang deras, jernih dan berbatu di kawasan hulu sistem sungai. Di Sarawak, ikan ini boleh dijumpai di hulu sungai-sungai utama seperti Rejang, Baram, Limbang dan Batang Ai. Di Rejang, terdapat tiga jenis ikan empurau yang dikenal pasti iaitu empurau burak, empurau merah dan empurau chelum.

Makanan semulajadi ikan empurau ialah tumbuh-tumbuhan seperti daun, buah-buahan dan bunga. Populasi ikan empurau adalah kecil. Akibat permintaan yang tinggi dan pencemaran alam sekitar, populasinya berkurangan dengan drastik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ikan empurau dapat mencapai berat lebih daripada 20 kg dan mencatat harga pasaran yang tinggi iaitu lebih daripada RM160kg sekilogram.

Terdapat banyak kekeliruan dalam membezakan ikan empurau daripada ikan semah (saudara terdekat ikan empurau). Kehadiran cuping panjang pada bibir bawah yang jarang dijumpai pada ikan semah ialah ciri perbezaan utama.

Pada tahun 2004, Pusat Penyelidikan dan Pengeluaran Ikan Asli Tarat telah berjaya membuat pembiakan tiruan bagi ikan empurau. Oleh itu, ikan ini mempunyai banyak potensi dalam industri akuakultur di Sarawak.

0 comments:

Post a Comment